MEDIA MASSA DAN HEGEMONI BARISAN NASIONAL

MEDIA MASSA DAN HEGEMONI BARISAN NASIONAL: SATU KAJIAN KES KE ATAS PERANAN MEDIA DALAM PENGURUSAN KRISIS KEWANGAN 1997 DI MALAYSIA (MASS MEDIA AND THE HEGEMONY OF BARISAN NASIONAL: A CASE STUDIES OF THE ROLE OF MAINSTREAM MEDIA IN THE 1997 FINANCIAL CRISIS IN MALAYSIA)

Thesis submitted to Institute of Malaysian and International Studies (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia, for the degree of Master of Philosophy (M. Phil), in 2002.

[CHANG TECK PENG] Kajian ini menggunakan kerangka teori Antonio Gramsci tentang hegemoni untuk mengkaji andaian bahawa media merupakan salah satu institusi sosial yang penting dalam pengurusan krisis dan pengekalan hegemoni golongan berkuasa. Untuk ujian empirikal, kajian ini meneliti bagaimana akhbar-akhbar arus perdana di Malaysi, iaitu New Straits Times, Utusan Malaysia dan Sin Chew Jit Poh, memainkan peranan masing-masing dalam penentuan agenda pembentukan hegemoni Barisan Nasional semasa krisis kewangan 1997 di Malaysia. Kajian ini menggunakan kaedah analisis kandungan terhadap liputan-liputan akhbar yang diterbitkan sepanjang Julai-Disember 1997, iaitu sepanjang tempoh krisis tersebut. Kajian ini mendapati kerajaan Barisan Nasional telah berjaya membentuk dan/atau mengekalkan hegemoninya dalam krisis itu dan kejayaan ini merupakan satu sumbangan penting akhbar-akhbar berkenaan. Di samping meredakan ketidakpuasan warga Malaysia dengan menghidangkan para pembaca dengan kenyataan-kenyataan yang positif terhadap prestasi ekonomi Malaysia, ketiga-tiga akhbar arus perdana tersebut merepresentasikan krisis kewangan 1997 sebagai hasil daripada konspirasi kuasa-kuasa Barat dan bukan kerana salah urus kerajaan. Sebagai contoh, 85% daripada semua liputan tentang punca krisis dalam ketiga-tiga akhbar itu menyalahkan George Soros dan para spekulator negara-negara Barat sebagai punca utama yang mengakibatkan krisis kewangan 1997. Akhbar-akhbar tersebut menjalankan fungsi penentuan agenda itu melalui dua pendekatan. Pertama, liputan-liputan yang diterbitkan bertindak sebagai penyambung lidah kenyataan-kenyataan daripada sumber rasmi dan daripada mereka yang menyokong kerajaan. Kedua, lidah pengarang yang diterbitkan bertindak untuk memperkukuhkan interpretasi terhadap liputan-liputan yang diterbitkan. Satu lagi penemuan ialah akhbar-akhbar yang dimiliki secara terus oleh kepentingan golongan berkuasa jauh lebih aktif dalam mempromosikan agenda golongan berkuasa berbanding dengan akhbar yang bukan dimilik secara terus oleh mereka. Oleh itu, New Straits Times dan Utusan Malaysia yang dimiliki oleh UMNO jauh lebih berat sebelah ketika membicarakan isu-isu krisis kewangan. Sin Chew Jit Poh pula yang dimiliki oleh Tiong Hiew King (seorang usahawan Sarawak yang rapat dengan Barisan Nasional Sarawak) sanggup memberi ruang kepada pandangan alternatif dan kritikan kepada kerajaan. Kajian ini membuktikan bahawa teori Hegemoni yang diketengahkan oleh Antonio Gramsci dan dimajukan lagi oleh sarjana-sarjana lain adalah sesuai untuk memahami hubungan yang rumit di antara Negara, elit berkuasa dan media massa dalam proses pembentukan hegemoni. 下载PDF档全文