【纳吉的传播媒体观】2012年演词(2)

【纳吉的传播媒体观】2012年演词(2)

本文是马来西亚第六任首相纳吉(Najib Tun Razak,2009-  )于2012年03月30日在吉隆坡为2011年马来西亚新闻协会-国油新闻奖颁奖典礼主持开幕之演词(马来文版)。‖  原文出处下载PDF档

By  :  DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK PERDANA MENTERI MALAYSIA
Venue  :  THE ROYALE CHULAN, JALAN CONLAY, KUALA LUMPUR
Date  :  30/03/2012
Title  :  MAJLIS MALAM PENYAMPAIAN HADIAH KEWARTAWANAN MALAYSIA MPI – PETRONAS 2011

1.  Pertama-tamanya marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan rahmatnya dapat kita semua bersama-sama pada malam ini bagi menjayakan Malam Wartawan Malaysia 2012 yang diadakan khusus untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS 2011.

2.  Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Malaysian Press Institute (MPI), selaku pihak penganjur majlis ini, di atas undangan yang dipanjangkan kepada saya, untuk menjadi tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para wartawan yang telah menghasilkan karya-karya kewartawanan yang diiktiraf cemerlang sepanjang tahun lalu.

3.  Usaha mengiktiraf kecemerlangan para pengamal media  melalui kerjasama strategik antara  MPI dan PETRONAS ini merupakan satu usaha yang baik dan murni demi meningkatkan mutu kewartawanan itu sendiri. Saya berharap kerjasama dua entiti berlainan bidang ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang, melampaui tahun 2014 selepas penajaan PETRONAS berakhir.

4.  Ini ialah kali kedua saya hadir ke Malam Wartawan Malaysia anjuran MPI selaku Perdana Menteri. Kali pertama pada 6 April 2009 iaitu tiga hari selepas saya mengangkat sumpah jawatan untuk memulakan perjalanan saya sebagai Perdana Menteri ke-6 negara. Kebetulan pula kehadiran saya kali ini menghampiri usia tahun ketiga pentadbiran saya pada 3 April 2012 ini.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

5.  Kerajaan amat menyedari keperluan dan peranan media yang bebas, adil dan bertanggungjawab terhadap pembangunan dan perkembangan sesebuah negara. Kita perlu bersyukur kerana Malaysia semenjak merdeka telah memiliki tradisi serta budaya media seumpama ini. Hakikatnya dalam komuniti hampir 200 negara-negara bangsa di dunia kenapakah ada negara yang berjaya dan kenapa pula ada negara yang dikategorikan sebagai gagal. Apakah faktor-faktor yang menentukan jaya atau gagal sesebuah negara? Adakah ia faktor sumber asli, kepimpinan, institusi, corak demografi, geografi, sistem nilai atau kombinasi faktor-faktor yang tersebut serta faktor-faktor lain yang tidak disebut.

6.  Kita menyaksikan dalam lipatan sejarah ada negara yang mempunyai sumber alam yang melata dan modal insan yang produktif namun menjadi “failed states” atau “basket case”, ada juga negara yang berjaya sebahagian daripada perjalanan tetapi kemudian mula terbantut proses pembangunannya manakala ada juga kategori yang walaupun tandus sumber alam tetapi berjaya kerana gabung jalin faktor-faktor lain yang dimiliki. Jawapan kepada persoalan ini bukan mudah tetapi saya yakin dan percaya peranan dan kepentingan pihak media tidak dapat dinafikan.

7.  Jika media sesebuah negara tidak memainkan peranan yang sepatutnya sebagai cerminan nurani, aspirasi, denyut nadi dan keluh kesah rakyat dengan menyebar  maklumat,  mendidik,  advokasi dan  mencetuskan  debat  terhadap isu semasa, dasar awam dan kepentingan umum secara adil dan bertanggungjawab maka media sebenarnya “Are not doing a service” kepada negara, rakyat dan kerajaan.    

8.  Kerajaan menghormati kedudukan media sebagai sebuah entiti bebas yang melaksanakan peranan imbang periksa terhadap pentadbiran Kerajaan. Seperti yang selalu saya sebut era kerajaan mengetahui segala-galanya, era kerajaan mempunyai monopoli terhadap kebijaksanaan sudah berakhir.  

Tuan-Tuan dan Puan-Puan

9.  Sebagai sebuah negara yang mahu menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi Malaysia perlu mengelakkan dari tersekat oleh apa yang digelar sebagai “middle income trap”. Bagai mengelakkan perkara ini berlaku maka kerajaan telah memulakan proses transformasi yang komprehensif merangkumi GTP, ETP, NEM dan SRI, PTP dan RTP.  

10.  Salah satu inisiatif di bawah transformasi politik yang telah saya umumkan merupakan langkah untuk memansuhkan keperluan pembaharuan tahunan lesen penerbitan di bawah  Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Suka saya mengumumkan bahawa pindaan ini akan dibentangkan di Parlimen dalam sesi ini juga bersama-sama undang-undang yang akan menggantikan Akta Keselamatan dalam Negeri 1960. Kerajaan juga telah mengambil keputusan selain daripada memansuhkan keperluan pembaharuan lesen secara tahunan untuk mengkaji secara komprehensif terhadap keperluan kewujudan Akta seperti yang sedia ada dengan mengambil kira kemajuan sektor ICT hari ini. Kerajaan tidak boleh dilihat sebagai mempunyai double standard dalam peraturannya terhadap media cetak dan media digital.

11.  Barangkali langkah-langkah yang telah kita laksanakan digemari oleh pihak antarabangsa menyebabkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia bagi 2011, bertambah baik berbanding tahun sebelumnya. Di kalangan 178 buah negara yang dipantau oleh organisasi bernama Reporters Without Borders itu, kita kini pada tangga 122 berbanding 141  pada 2010, naik 19 anak tangga.  Di kalangan negara-negara Asia Tenggara, kita berada di tangga pertama menewaskan jiran kita Indonesia yang tidak memerlukan permit untuk menerbitkan akhbar. Tetapi sebelum dibuai oleh penilaian itu,  ingin saya tegaskan kita tidaklah terlalu taksub dengan rating yang diberi oleh pihak luar itu. Atau menjadikan penarafan itu satu gold standard dalam mengukur kebebasan media kita. Kita mempunyai nilai dan kepentingan-kepentingan tersendiri yang perlu dijaga.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan

12.  Dalam upaya untuk melahirkan media yang berkeperibadian Malaysia, saya juga difahamkan bahawa industri berita di negara ini telah mengambil inisiatif untuk mengukuhkan profesionalisme yang diurus sendiri atau apa yang dipanggil self-regulatory. Saya difahamkan di kalangan para peneraju editorial media cetak, kata sepakat dicapai sesama mereka untuk menubuhkan sebuah Majlis Akhbar Malaysia bagi bertindak sebagai badan pengawas untuk mengukuhkan tahap profesionalisme kewartawanan menyamai apa yang terdapat di negara-negara maju yang lain. Di bawah persepakatan itu para editor juga bersetuju untuk menyediakan satu kod etika yang memperincikan prinsip-prinsip kewartawanan yang akan dijadikan guiding principle dalam tugas-tugas pengumpulan dan penerbitan maklumat untuk dijadikan sebagai hasil kewartawanan mereka.

13.  Kerajaan menyambut baik usaha ini. Saya menyerahkan kepada sebuah jawatankuasa khas yang telah dibentuk oleh pengarang-pengarang itu untuk menghasilkan kod etika yang workable dan practicable sepenuhnya. Kerajaan tidak akan campur tangan dan terpulanglah kepada industri untuk mengawal selia diri mereka berkait dengan profesionalisme kewartawanan ini. Kerajaan akan menerima apa  juga  cadangan  yang  dikemukakan  dengan  hati  dan  fikiran yang terbuka. Insya-Allah sekiranya prinsip-prinsip yang dikemukakan jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh pengarang-pengarang  industri berita itu nanti boleh menjamin kebebasan media yang mengharmonikan idealisme yang dijunjung oleh golongan wartawan dengan realiti semasa negara, maka saya setuju dengan pandangan yang disuarakan oleh rakan-rakan wartawan bahawa  peraturan-peraturan yang sedia ada berkait dengan media tidak boleh kekal statik. Peraturan-peraturan itu bukannya dibancuh dalam acuan simen yang tidak boleh dipecahkan. Kita sekarang berada pada era digital yang memberikan kita semua akses kepada maklumat tanpa batas. Dasar kerajaan sendiri adalah untuk mewujudkan negara tanpa wayar sepenuhnya kerana kita tidak mahu warga Malaysia menjadi seperti katak di bawah tempurung dalam era dunia tanpa sempadan sekarang. Komitmen saya adalah untuk melahirkan warga Malaysia yang berfikiran global dengan akarnya kukuh pada peringkat lokal atau glokal.

14.  Malah tidak dapat disangkal lagi teknologi telah mengubah wajah dan landskap kewartawanan bukan sahaja sejak terciptanya Internet, tetapi sejak terciptanya mesin cetak pada 1448. Kewartawanan yang dalam bahasa mudah ditakrifkan sebagai kegiatan atau profesion penulisan untuk akhbar, majalah, TV, radio kepada khalayak yang lebih luas kini turut mencakupi pelbagai bentuk media baru dalam talian. Kegiatan menyebarkan dan mendapatkan  maklumat, idea dan pendapat tidak lagi didominasi oleh media lama atau mainstream media, tetapi juga melalui wadah-wadah baru yang tidak pernah kita fikirkan sebelum ini.

15.  Kemerosotan jualan yang dialami oleh akhbar-akhbar, bukan sahaja di negara ini, tetapi juga di negara-negara lain, dan pada waktu yang sama berlaku peningkatan berlipat ganda dalam penggunaan media baru merupakan bayangan nyata tentang perubahan yang berlaku dalam penyebaran dan mendapatkan maklumat ini. Revolusi dalam penyebaran dan mendapatkan maklumat ini merupakan satu realiti. Ia akan kekal bersama kita. Tiada siapa boleh menghalang atau menyekatnya. Malah usaha untuk menyekat atau menghalangnya akan berkesudahan dengan sia-sia. Kita kena mendakapnya. Kalau tidak kita yang akan ketinggalan.

16.  Akhir sekali, saya merakamkan penghargaan saya kepada MPI kerana selain mengiktiraf kecemerlangan produk kewartawanan yang didaya usahakan semenjak 1980, MPI juga terbabit dalam latihan-latihan khusus berbentuk jangka pendek untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan wartawan.  Kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS 2012, saya mengucapkan tahniah. Semoga kejayaan mereka akan menjadi pencetus kepada rakan-rakan wartawan untuk menghasilkan karya-karya yang bermutu pada masa-masa akan datang.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sekian, terima kasih.